Sunday, March 20, 2011


Assalamualaikum Selamat Datang ke Laman Sesawang Maahad As-Syatiri diharapkan anda mendapat manfaat


Assalamualaikum pertama sekali marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Taala kerana dengan limpah serta kurniaNya jua dan tidak lupa juga selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para aulia, para sahabat Nabi S.A.W, para taabiin, tabi' tabiin, alim ulamak serta seluruh kaum muslimin yang dikasihi sekelian.Pertama sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Taala yang memberi kesempatan kepada saya mendirikan institusi pengajian agama atau pondok yang berlandaskan ilmu-ilmu agama demi melihat perkembangan syiar Islam ditengah-tengah kesibukan manusia pada hari ini mengejar kehidupan dunia serta sibuk mencari kekayaan wang ringgit atau harta benda dan hampir-hampir tidak ingat kepada negeri yang abadi iaitu akhirat.

Latar Belakang Maahad As-Syatirie (Pondok Sg. Dedap)

 Maahad As-Syatirie (Pondok Sg. Dedap) adalah sebuah pusat Pengajian ilmu-ilmu Islam secara tradisional yang menggunakan sukatan pengajian kitab-kitab turath. Ia telah ditubuhkan pada penghujung tahun 2008 sekembalinya Al-Fadhil Tuan Guru Ust. Zulkifli b. Muhammad Suhaimi dari rehlah ilmiahnya dari Bumi Tareem, Hadramaut, Yaman, setelah hampir 10 tahun beliau meninggalkan tanah air. Kelas pengajian yang bermula dengan 3 orang pelajar diadakan di Dewan Tabika Kemas yang diubahsuai. Pengajian adalah sepenuh masa iaitu sebanyak 4 kali sehari (pagi, tengahari, petang dan malam). Setelah kepulangan dua orang pelajar beliau ke tanah air iaitu Ust. Muhd Fidaiy dan Ust. Muhammad Solehin b. Mustofa untuk membantu maka semakin bertambahlah kemasukan pelajar ke pondok ini dari semasa ke semasa.

Memandangkan kepada pertambahan pelajar, pihak pengurusan pondok membina sebuah surau tambahan untuk kegunaan pengajian dan solat berjemaah. Sambutan pelajar di pondok ini sangat baik dan sehingga kini pelajar di pondok ini telah mencapai seramai 60 orang dan lebih daripada 30 orang pelajar yang telah memohonuntuk mendaftarkan diri untuk belajar di sini namun demekian tidak dapat diterima kerana kekurangan tempat tinggal.
 
Perasmian Maahad As-Syatirie (Pondok Sg. Dedap) telah dilakukan oleh Al-Allamah Al-Habib Salim b. Abdullah b. Umar As-Syatirie pada hari Jumaat di dalam waktu Dhuha, 8.30 pagi bertarikh 3 Safar 1430 H bersamaan 30 Januari 2009. Semasa perasmian diadakan bilangan pelajar yang berdaftar seramai 18 orang. 

Objektif Penubuhannya:

Sebagai sebuah pusat pengajian ilmu-ilmu Islam Maahad As-Syatirie turut memainkan peranan seperti berikut:

1. Bertanggungjawab mendidik dan menyebarkan dakwah kepada masyarakat Islam supaya memahami ilmu agama yang sebenar khususnya ilmu Fadhu Ain.

2. Melahirkan masyarakat berilmu, beriman dan bertaqwa.

3. Mengimbangkan pendidikan spiritual dan dakwah dengan suasana pembangunan fizikal dalam era globalisasi.

4. Mempertahankan aqidah umat Islam melalui pendidikan yang berpaksi dan bertunjangkan keikhlasan dan berdasarkan kepada Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

5. Menerapkan pendidikan akhlak dan Islami.

6. Menyediakan kursus Bahasa Arab perbualan dan pengajian khusus kepada yang telah lulus ujian peperiksaan dan menyambung pengajian ke Rubat Tareem, Hadramaut, Yaman.